EVENT GALLERY

Earth Hour 2017- 25 Mac 2017- Uniting People to Protect the Planet

Saturday, 25 March, 2017

Kempen Earth Hour berkolaborasi antara WWF – Australia, Fairfax media, dan Leo Burnet untuk mengurangkan pemanasan global yang berlaku. Kolaborasi ini bermula pada tahun 2004, di mana WWF Australia mengadakan pertemuan dengan sebuah biro iklan, Leo Burnet untuk membicarakan solusi untuk masalah perubahan iklim yang semakin parah. Akhirnya Earth Hour pertama dilaksanakan pada tanggal 31 Mac 2007.

Logo EARTH HOUR ’60+’ menunjukkan 60 minit dengan memadamkan lampu untuk bergelap selama satu jam. Tanda ‘+’ menunjukkan komitmen untuk bersama-sama menyokong kempen tersebut.

Bagi memastikan kempen ini mendapat sambutan, Earth Hour bertujuan untuk mendorong individu, masyarakat dan perniagaan untuk sama-sama melakukan perubahan pada iklim dunia. Dan lazimnya sambutan ini akan diadakan pada bulan Mac setiap tahun.

Bagi menyambut seruan dunia untuk sama-sama memelihara bumi ini, Menara Taming Sari tidak terlepas bagi menyambut acara tersebut pada 25 Mac 2017 yang lalu.

Persiapan dilakukan seawal jam 4 petang untuk mendekorasi kawasan yang terlibat di Dataran Menara Taming Sari. Antara barang-barang yang digunakan semasa program dijalankan ialah lilin untuk membentuk simbol ‘60+’, warna glow paint dan kain rentang putih sebagai cap tapak tangan keatas kain rentang dan marker pen untuk tandatangan pengunjung.
Setelah dibantu oleh kakitangan Menara Taming Sari, semua persiapan siap sepenuhnya pada pukul 6 petang. Jemputan dari pelajar- pelajar UITM tiba di Menara Taming Sari pada pukul 7:45 malam selepas selesai menunaikan solat Maghrib. Mereka kemudian diberikan taklimat sebelum bermulanya program Earth Hour.

Pada jam 8:20 malam, kesemua pelajar UITM telah diberikan seorang satu lilin untuk menyalakan lilin yang membentukkan simbol ‘60+’ di perkarangan Dataran Menara Taming Sari. Pada jam 8:25 malam, video Earth Hour ditayangkan oleh unit IT Menara Taming Sari sambil mengira detik bermulanya Earth Hour yang diraikan oleh seluruh dunia pada jam 8:30 malam waktu tempatan.

Setelah bermulanya Earth Hour, unit Teknikal mematikan semua suis lampu di seluruh kawasan Menara Taming Sari. FAMA, Food Truck, Yayasan Pembangunan Buku Negara dan Karangkraf yang terlibat dalam Mini Karnival di kawasan perkarangan Dataran Menara juga turut serta bagi menjayakan program ini. Setelah itu, pelajar Uitm mula menyalakan lilin yang membentuk simbol ‘60+’ bagi menerangi Dataran Menara Taming Sari.

Setelah penyalaan lilin selesai di nyalakan, pelajar UITM turut serta dalam buat arca seni ‘Palm Paint’ dengan mengecap tapak tangan dan tandatangan pada kain rentang yang telah disediakan dan seterusnya sesi bergambar. Penyalaan lilin dan ‘Palm Paint’ tandatangan ini juga dilakukan oleh Encik Ali bin Hj. Kasmin iaitu Pengurus Besar Menara Taming Sari dan Isteri beliau Puan Erlina binti Mohamad. Turut serta Encik Mohd Husni bin Husin Pengurus Pemasaran dan Korporat dan Encik Mohd Zulhimi bin Kamarudin Pengurus Teknikal Menara Taming Sari Berhad. Program ini berakhir pada jam 9:30 malam.